Maklumat yang tepat menjamin ketepatan keputusan dan
keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu sesetengah keputusan tidak dapat
dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa akibat yang buruk dan mengaibkan.
Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami
kebanjiran maklumat, kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang
tepat dan menggunakannya dengan berkesan.
Kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang boleh
dipelajari. Tetapi kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada kedudukan
ekonomi dan tempat di mana kita berada.
Ada beberapa perkara penting yang perlu diketahui dan
difahami untuk melengkapkan diri sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif.
Pertama sekali adalah mengetahui dorongan / sebab mencari
maklumat, diikuti dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan
maklumat. Setiap orang mempunyai dorongan yang berbeza semasa mencari maklumat.
Ada yang memerlukannya untuk tujuan ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan
lain-lain. Dorongan yang berbeza ini membentuk persepsi dan motivasi yang
berbeza pula semasa berdepan dengan maklumat.
Manakala sikap atau psikologi manusia itu turut mempengaruhi
kemahiran mereka dalam mencari maklumat. Terdapat berbagai teknik untuk
menganalisa sikap manusia semasa berhubungan dengan dunia maklumat.
Salah satu teknik itu menunjukkan ada orang yang mencari
maklumat sekadar di permukaan, ada yang mencari secara mendalam dan ada pula
yang bersifat meneroka sejauh yang mungkin secara rawak.
Memahami keperluan maklumat diri dan cara diri kita mencari
maklumat adalah satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan kita
menguasai kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik.
Selain itu, kemahiran mencari maklumat juga bergantung
kepada sejauh mana seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat.
Maklumat boleh wujud dalam bentuk artifak, lukisan, imej,
ensiklopedia, indeks, abstrak, buku tahunan, almanak, jurnal, buku, majalah,
cakera padat, mikrofilem, mikrofiche, lisan, kaset, video dan banyak lagi.
Manakala sumber maklumat pula boleh jadi daripada manusia,
bahan bercetak, bahan digital, bahan artifak, bahan filem, bahan seni, bahan
bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari maklumat bagi setiap bentuk dan sumber ini
berbeza pula dan memerlukan teknik yang berbeza juga untuk mendapat hasil yang
sepatutnya.
Contohnya untuk mencari bahan digital melalui enjin carian
Google, sekiranya seseorang itu memahami konsep asas capaian kembali maklumat
atau information retrieval dia akan dapat mencari bahan dengan lebih tepat
berbanding orang yang tidak tahu. Begitu juga apabila ingin mencari bahan
bercetak di perpustakaan, ada peraturan asas penyusunan buku di perpustakaan
yang perlu difahami seperti nombor panggilan dan cara pengelasan bahan.
Termasuk dalam kemahiran mencari maklumat adalah kebolehan
kita menduga di mana bahan yang kita kehendaki berada. Ini perlu dipelajari
berdikit-dikit melalui pengalaman mencari maklumat yang terdahulu ataupun
daripada pembacaan dan penerangan orang lain.
Ada bahan digital yang boleh didapati di Internet, tetapi
ada juga bahan yang kita tahu wujud di dunia maya tetapi tidak boleh dicapai
kecuali menggunakan kata laluan dan sebagainya. Kita perlu peka dan menyiasat
kewujudan bahan itu di tempat kita, mungkin melalui institusi tertentu yang
boleh membantu.
Ada juga bahan yang istimewa dan disimpan di tempat khusus
dan memerlukan kebenaran khusus untuk menggunakannya seperti artifak atau bahan
arkib.
Terakhir sekali adalah kebolehan kita untuk menilai maklumat
yang telah berjaya kita cari, dan ini masih lagi merupakan rentetan daripada
kemahiran kita mencari maklumat. Kemahiran menilai maklumat ini wajar
dibicarakan dalam satu ruangan lain yang akan memberi kesempatan sebuah
penerangan yang lebih sempurna.
Semua kemahiran mencari maklumat yang disebutkan di atas ada
ditawarkan di pusat pengajian tinggi oleh pihak perpustakaan. Malah di
peringkat antarabangsa, kemahiran ini dijadikan suatu subjek wajib bagi setiap
fakulti dengan usaha sama antara pensyarah dan pustakawan.
Walaupun masih jarang kedengaran perpustakaan awam di negara
ini mengambil daya usaha membuka kelas khas kemahiran mencari maklumat, tetapi
ia patut dijadikan satu agenda penting sesebuah perpustakaan.
Melalui cara ini perpustakaan dapat bergerak seiring dengan
keperluan masyarakat yang sentiasa berdepan dan adakalanya terbeban dengan
kebanjiran maklumat. Usaha untuk merentas jurang digital dan mengejar kemajuan
teknologi negara maju pula harus menjadi agenda penting negara supaya rakyat
sendiri tidak tercicir dalam menguasai maklumat, kerana maklumat adalah suatu
bentuk kuasa.
No comments:
Post a Comment